Memahami Bencana Alam



Memahami Bencana Alam

Ramai orang mengatakan kejadian tanah runtuh, banjir kilat, kemarau, ribut, dan sebagainya merupakan fenomena alam dan hanya sifat-sifat bumi yang dinamik. Namun , kita terlupa bahawa sebahagian besar daripada kejadian tersebut sebenarnya berpunca daripada tindakan manusia sendiri. 


Kesan-kesan daripada bencana alam telah meningkatkan intensitinya akibat tingkah laku manusia di dalam alam ini. Hal ini diakui sendiri oleh pakar-pakar geologi dari seluruh dunia.

Bencana alam datang dalam pelbagai bentuk dan saiz. Ada sesetengah bencana ini boleh dijangkakan manakala sebahagian lainnya tidak. Kejadian ombak besar Tsunami yang melanda beberapa negara Asia Tenggara merupakan bencana alam yang tidak dijangka.

Begitu juga kejadian ribut Greg di Sabah serta banjir lumpur di Pos Dipang, Perak. Semuanya berlaku secara tiba-tiba. Sejak beratus-ratus tahun yang lalu, bencana alam telah berlaku di bumi, namun ia hanya diingati sebagai bencana apabila kejadian tersebut melibatkan kehilangan nyawa dan harta benda yang banyak. Apa yang pasti, setiap kali berlakunya bencana alam yang dahsyat, ia akan meninggalkan kesan yang menggerunkan dan menyedarkan kita tentang keperluan untuk sentiasa berhati-hati dalam apa jua tindakan yang dilakukan dalam kehidupan.


Di Malaysia, bencana alam jarang berlaku. Keadaan ini mungkin membuatkan kita tidak bersedia kerana tidak mempunyai pengalaman yang luas dalam menangani situasi tersebut. Walaupun begitu, terdapat juga beberapa kejadian bencana alam kecil seperti banjir, banjir kilat,dan tanah runtuh direkodkan. Namun, kebanyakan daripada kejadian tersebut berjaya dikawal dan tidak melibatkan kes kehilangan nyawa yang banyak. Hanya banjir yang kini menjadi antara cabaran besar kerajaan kerana kos kerugian dan kerosakan akibat banjir besar di Johor dan Pahang pada tahun 2007 dianggarkan sebanyak RMI bilion.


Walau bagaimanapun, sepanjang hampir dua puluh tahun lalu, terdapat beberapa peristiwa bencana alam yang mendapat liputan meluas seperti Tragedi Highland Tower (1993), Tragedi Pos Dipang

(1996), Tragedi Ribut Greg di Sabah (1996), kejadian tanah runtuh di Gombak (2004), dan banyak lagi. Malah, tragedi ombak besar Tsunami pada 26 Disember 2004 yang lalu juga merupakan yang pertama kali berlaku di Malaysia dan tidak mungkin kita semua lupakan.

Kesemua tragedi yang melibatkan bencana alam telah diterangkan dengan jelas di dalam Al-Quran. Ayat 41, surah Ar-Ruum yang bermaksud;

"Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."

Comments

Popular Posts